Saturday, January 29, 2011

Aku Menjadi Lebih Berani

Kali ini
kau berbaju biru
dan bajuku ungu
sayang, hanya aku tahu
hatimu
tidak setulus hatiku
yang berbaju ungu.

Bila begini, sebilah pisau aku tidak gentar
sepatah kata,
bisa, aku merasa.
Hati dan rasa mengejarku
aku menjadi lebih berani.


Latifah Haji Shebli
Anak Laut,
DBP, 2000



Puan Suzi, Cikgu BM kelas 4 Alfa Beta meminta Amir menulis puisi ini di papan hitam dalam masa yang sama meminta Naza membacanya dengan kuat di depan kelas.

Ini adalah salah satu aplikasi teori pedagogi yang Puan Suzi jalankan, melibatkan pelajar pada tahap optimum dalam P&P.

Selesai Naza membaca.

"Ok terima kasih Amir, Naza. Kelas, apa yang kamu mengerti dari sajak ini?" tanya Puan Suzi.

Simbol "?" adalah sejenis simbol sihir yang akan membuat kelas 4 Alfa Beta sepi, hening, murid-muridnya tertunduk bagai kata orang tua: malaikat lalu. Syahdu.

Puan Suzi, "Samad, kamu buat apa tu?"
Tiba-tiba beliau menyergah seorang murid yang sedang membuat kerja rumah prinsip akaun.

"Baki dibawa kehadapan 481.45sen!... eh bukan..." ribut Samad.

"Samad! Ke depan sekarang. Baca dan beritahu kelas apa yang kamu faham tentang puisi ini?" tegas Puan Suzi yang tak mahu melengah masa yang terhad untuk mengejar silibus.

Lalu Samad ke depan dengan kalkulator Casio 571-ms, satu tindakan bawah sedar yang diperan oleh bahagian otak medula oblongata.

Samad adalah anak emas sekolah dikatakan beliau akan mengambil 19 subjek dalam SPM nanti.

Puan Suzi memanggil Samad ke depan agar Samad dapat memberi perhatian kepada kelasnya bukan untuk menghukum.

"Ha apa yang kamu faham? Cepat." desak Puan Suzi.

"Cikgu, menurut pendapat saya ini puisi cinta. Rangkap pertama kita boleh tahu seorang itu Pengawas (baju biru) dan penulis sajak ni Pengawas PRS (pembimbing rakan sebaya, baju ungu).

Penulis Pengawas PRS sebagaimana yang kita tahu banyak terdedah dengan kaunseling dan psikologi dia dapat detect temannya yang pengawas itu tak jujur dalam percintaan. Pengawas tu mungkin mengugut penulis Pengawas PRS dengan pisau.

Tapi seperti saya kata tadi PRS yang terel dalam motivasi tak gentar bahkan menjadi lebih berani....." jawab Samad lelucon.

Puan Suzi hanya menggelengkan kepala.


Erman: Aku belajar puisi ini di bangku sekolah menengah. Ahh dunia sekolah begitu indah, magis, riang, dan kadangkala tidak masuk akal.

No comments:

Post a Comment