Thursday, May 26, 2011

29 Penyair

+Siapakah penyair kegemaranmu wahai anak muda?
-Penyair yang hebat bukan main guru.

+Siapa?
-Penyair Anonymous!

Monday, May 23, 2011

28 Aku di sini

Hujan yang turun
tak mengalahkan
satu
pasangan tua
yang masih berdiri
berkongsi payung
sama-sama memegang panji
kepedulian.

Aku
seorang anak muda
terasa berdosa
jika tak terus berdiri
di sini.


Jalan Yap Kwan Seng 19-5-2011

27 Kongsi

Telah Tuhan kurniakan
zaman ini
dunia yang semakin tak berjarak
dunia perkongsian maklumat

lalu hari ini apa yang dikongsikan?

di ruangan wajahbuku,
kita berkongsi duka dan malang,
kata yang tak berisi
dan kekosongan
kata terbit dari perasaan
kata permusuhan
kata sindir untuk menghiris
kata yang tak berakal.

kawan,
hari ini apa yang dikongsikan
takkan terlepas dari perhitungan esok

Gombak 23-5-2011

Friday, May 20, 2011

26 Dengarlah

jangan pilih jalan gelap

tolong
petik suis lampu itu


Gombak 20-5-2011

Thursday, May 19, 2011

25 Sirli

mukmin itu
umpama ikan dalam air
tenang

munafik itu
umpama burung dalam sangkar
gelisah

entah atas apa kicau-kicau itu
mungkin murni berkongsi
mungkin sepi kekosongan

kepada siapalah kicau-kicau itu
di domba-dombakan
menangkah sorak di situ?

senang-senang
air mengalir
tahu hulunya

senang-senang
bicara
fikir-fikir dahulu


Gombak 19-5-2011

Wednesday, May 18, 2011

24 Kedai buku

lot ini dulu
kedai buku
meski kecil
begitu bercita-cita

kadang-kadang singgah
aku
membeli

tetapi selalunya singgah
aku
percuma membaca


lot ini
mungkin tak akan
aku
singgah lagi


lot ini dulu
kedai buku

hari ini
kedai baju.
kedai baju muslimah.


Gombak 18-5-2011

Tuesday, May 17, 2011

23 Perbarisan

dalam latihan perbarisan lalu kita bertemu bersalam kenal di saat komandan memberi rehat ketika sendiri kamu membuka bicara bertanya isi saya memberi sekadar pandangan dan besok kata kamu akan bertanding di barisan paling belakang sembunyi-sembunyi saya menonton kamu di pentas dan itu kisah semalam namun hari ini saya masih sembunyi-sembunyi menonton kamu di atas pentas puisi kamu sentiasa saya simpan kerana suka membacanya moga kita bertemu lagi dalam perbarisan dan mungkin tanpa segan berbicara berani tentang revolusi itu dan ini tanpa komandan yang mengarah kembali ke latihan perbarisan.