Monday, March 28, 2011

06 Salim dari Yaman

Salim namanya
pemuda dari Yaman
Kam umruk? Tanyaku
Ishrin, jawabnya


Aku merangkak membina kata
dari perbendaharaan yang papa


namun ku tekad
catatan hari ini
hari menyelami nubari
sendiri

hanya ihram
membalut jasad
dan bekalan doa
iringi advencer miqat
sendiri

Salim namanya
pemuda dari Yaman
kami berkongsi van
membawa niat ke Tanaeim


katanya dia merentas gurun
musafir padang pasir

Salim namanya
pemuda dari Yaman
ku lihat debu-debu

cinta
pada wajahnya.


Tanaeim, Mei 2010

Thursday, March 24, 2011

05 Kata kacang

Kata kacang pada tukang masak,
"Panas. Apa yang kau buat padaku?"

Kata tukang masak,
"Aku sedang memasak kau agar dimakan manusia"

Kata kacang,
"Kalau begitu, gorengku sampai masak."

Demi menjadi sebahagian dari makhluk lebih berdarjat (manusia), kacang merelakan dirinya di goreng oleh tukang masak.

-tulisan semula ingatan kasar sebuah puisi rumi-

Tuesday, March 22, 2011

Hari-hari terakhir seorang Editor.... (Bab 1)

Assalamualaikum wbt.

Di entri yang bertajuk "Hari-hari terakhir seorang Editor" ini aku ingin berkongsi sedikit pengalaman dan rasa aku (ditambah dengan sedikit ajinomoto) bekerja sebagai seorang penyunting buku atau ringkasnya dipanggil Editor. Masuk hari ini, makanya dah sebulan setengah aku bekerja di sebuah syarikat penerbitan buku.

Menjadi editor ini adalah mimpi siang aku.
Aku banyak mimpi, mimpi jadi Chef, jadi pegawai Zakat, jadi bomba, otromen, batman atau sebenarnya mimpi seorang fresh grad penganggur yang fed-up duduk rumah dah hanya ingin sebuah kerja. Oleh itu semua jawatan dipohon. Ibarat seorang pemancing di laut luas, umpannya resume dan yang tersangkut jawatan Editor inilah.

Tanpa melengah masa, sebab sekarang ni dah lewat malam (besok subuh-subuh sebelum ayam pencen bangun aku dah nak kena gerak pergi kerja) aku terus pada cerita di bab pengenalan ini aku mulakan cerita tentang departmen aku iaitu Publishing Department.

Di departmen penerbitan, ada 3 orang yang menjadi nadi utamanya iaitu: Editor, Illustrator (atau selalu dipanggil Artist), Typesetter (atau nama panggilan DTP).

Editor ini menurut bos aku, adalah brain of publishing company. Mereka bertanggungjawab cari bahan/ penulis / menyemak / menyunting. Istimewa juga mereka mempunyai kuasa seruan. Seruan apa? Diterangkan pada perenggan selanjutnya.

Illustrator pula atau kami selalu panggil Artist tanggungjawabnya akan hal-hal gambar, rajah, ilustrasi atau di dalam gerak kerja selalu sang Editor akan menyeru Illustrator dengan pen merahnya menconteng begini di manuskrip:

Artist: Please reduce diagram size 60%. Thanks!


atau kerap sekali, pendek:


A: Pls reduce size 60%. TQ! 

Seterusnya, Typesetter atau kami selalu panggil DTP. Kedengarannya agak kacak juga macam Detektif bunyinya. Siapa typesetter buku ni? DTP Mastura, DTP Cheong. Kerja DTP ni hal-hal menaip dan reka letak huruf. Atau dalam proses sesbuah buku sang Editor akan menyeru DTP dengan pen merahnya menconteng begini di manuskrip:

DTP: Please move this segment forward.  Thanks!

Tajuk entri ni akan jadi best kalau aku adalah Illustrator atau DTP (DTP juga kalau dalam dunia publishing dipanggil DTP artist). Ini kerana tak lain tak bukan kalau begitu sempatlah tajuk entri ini  berbunyi "The Last Days of an Artist" satu nada bunyinya dengan karya gah Sasterawan Negara Anwar Ridhwan yang tersohor itu.Tapi ok lah bak kata pepatah: tak ada kayu rotan pun jadi. Tajuk ni ada sipi-sipi bunyi magnum opus SN Anwar.


bersambung.... (dah pukul 1, esok nak kerja)

Sunday, March 20, 2011

04 Baca

kata ramai
umatku kurang membaca

maka
diari pagi ku tulis
menaiki tren massa
menggerak budaya
biar jadi sumbu
pelita sejarah dibaca

hari ini
diari pagi ku dipanjangkan
tuhan, tulisnya:
baca mu mesti
diterjemah pada laku

maka
pagi ku sambut
bukan tamu
tapi rahmat

pagi ku iring
bukan tamu
tapi pelerai
dosa diri.

Gombak 20.3.2011

Saturday, March 19, 2011

03 Semeja

kita pernah
sama-sama
menadah ilmu
menganjak dewasa
dari tidak reti
kepada bererti

saing
canda dan suka
berkongsi luka tanpa duka
berkongsi bumbung
hujan panas langit juga pelangi

hari ini
kita semeja
bertukar berita
bertukar cerita

di majlis raja sehari
yang kita raikan
tinggalan kaya
nostalgia remaja.


AU4 19.01.2011

02 Ati

Ati
gadis rendang manis

rambut hitam diperangkan
pakainya jarang sang perawan

namun
hari ini
cantik berkurung
walau kurungnya gagal
mataku tak sesesak
seperti selalu

ada soal
ingin sekaliku
bertanya padanya:

saudari, mengapa memilih
puntung maut menghias bibir?


Petaling Jaya 19.03.2011

Thursday, March 17, 2011

01 Alif

singkirkan alif ini
yang merosakkan
murni diri

singkirkan alif ini
yang menafsikan
suci hati

singkirkan alif ini

yang bersamanya
kaf kelu
dan wau yang membeku.

Gombak 17.03.2011

Wednesday, March 16, 2011

Begitu banyak

Begitu banyak
yang ingin ku tulis

Begitu banyak
yang ingin ku kata

Begitu banyak
yang ingin ku kongsikan

Namun ibarat peniaga
teliti dan cerewet
mahu yang terbaik

Namun ibarat peniaga
ke pasar membawa dagangan
apa yang ingin ku tawar?

ku tapis
satu persatu
tersangkut di jaring
hampas yang tak layak

Dari begitu banyak
tinggal
satu.

Kata siapa ia kekosongan?


Gombak, 16.03.2011

Tuesday, March 1, 2011

Kafan semalam

Ha yang terdampar
dari tengah renang tak daya
gelombang ombak belum
ingin mengkafankannya
samudera mengusung jasad
ke pantai kelmarin

Tinggal jasad
ba dal alif ya ta
apa ada nyawa?



antara masin dan dingin air laut Ya
cuba-cuba menyedarnya
nyanyi angin mendesir ombak pantai
membisik Alif

kata Camar, "ia tak mahu nyawa"

kembali
mencari
Ta
yang akhir,
di mana ada subur hati
segar hidup
kala jasad terkafan.


Erman 26 Rabiulawal 1432 H 
-Atasmeja-